Wednesday, March 4, 2009

Jom jalan2 Taiping :)

Safari Malam Zoo Taiping

Oleh N.A.Z
syawal1402@gmail.com


LAGAKNYA tak ubah seperti sedutan babak animasi popular Hollywood, ‘The Lion King’.

LAGAKNYA tak ubah seperti sedutan babak animasi popular Hollywood, ‘The Lion King’.

Duduk terlentang di atas batu hampar yang terjulur keluar dari bukit kecil dan parit yang memisahkannya dengan pengunjung, singa yang menjadi antara bintang utama Safari Malam di Zoo Taiping ini langsung tidak terkesan dengan kehadiran pengunjung.


Sesekali raja rimba ini mengaum panjang seakan memberi isyarat atau petanda kuasa kepada penghuni hidupan dalam hutan buatan di zoo di utara tanah air ini.

Perasaan bertukar menjadi sedikit gerun lagi apabila menyaksikan haiwan itu melahap daging mentah yang dilemparkan petugas zoo.

Bagaimanapun, hidupan liar itu tidak gemar berkongsi makanan, tetapi lebih rela membawa daging di ruang terpencil untuk menikmatinya sendirian.

Pengarah Zoo Taiping, Dr Kevin Lazarus, berkata sejak dilancarkan pada 2003, program Safari Malam pertama negara ini menjadi amat popular di kalangan warga tempatan.

“Bukan setiap hari, anda dapat melihat hidupan yang aktif selepas matahari terbenam seperti harimau, dubuk dan badak sumbu.

“Kini, program ini menjadi antara tarikan pelancongan utama bandar warisan ini,” katanya ketika menyambut peserta program Sahabat Zoom! Malaysia Taiping dan Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Zoo seluas lebih 12 hektar ini berdekatan dengan Taman Tasik Taiping ini dan di kaki Bukit Larut ini memiliki 1,200 haiwan daripada 160 spesies.

Sebahagian kecilnya hanya aktif pada waktu malam.

Menurut Dr Kelvin, parit besar, kolam air dan kabel elektrik dibina bagi memisahkan haiwan dan pengunjung tetapi pada masa sama mewujudkan persekitaran seperti habitat semula jadinya.

“Lampu malap yang diletakkan di lokasi strategik pula memberikan pencahayaan semula jadi seperti mana sinaran bulan.

“Kita akan dapat melihat aktiviti haiwan yang hanya ligat pada waktu malam dari jarak dekat,” katanya.

Jika langkah kanan, anda akan dapat melihat petugas memberikan buaya makan, atau kangaru yang suka menyorok di balik pokok dan kumpulan rusa yang hidup bebas dalam kandang besar.

Manakala, tasik berasingan pula menempatkan spesies lebih ekstotik seperti bangau dan angsa seakan hidup damai dalam dunia haiwan.

Jika tidak mahu menaiki kereta tram, pengunjung dibekalkan dengan lampu suluh dan dinasihatkan mengikut jejak tapak rimau - cat yang dilukis di atas jalan - untuk memudahkan kunjungan.



TAMAN TASIK

Selain Safari Malam di Zoo Taiping, bandar kecil di utara Semenanjung ini memiliki pesona tersendiri.

Taman tasik pertama negara terhasil dari cantuman beberapa tasik besar bekas lombong bijih menjadi mercu tanda bandar ini, selepas diubah suai dan diperindah pada 1884.

Pengunjung pasti tertarik dengan rimbunan Pokok Hujan atau Pokok Pukul 5, dikatakan berusia 130 tahun, yang memagari kawasan tasik selain banjaran bukit kecil yang menjadi latar semula jadinya.

Kini, ia bukan saja menjadi destinasi santai keluarga untuk beriadah, malah sering kali dijadikan lokasi penggambaran iklan dan filem tempatan.



NILAI WARISAN

Keindahannya juga banyak disumbangkan oleh warisan bangunan bersejarah - sejajar dengan proses pemodenan dari kekayaan emas hitam.

Pencinta sejarah pasti jatuh hati dengan reka bentuk bangunan kolonial. Sehingga kini, ada 33 bangunan yang disenaraikan sebagai pertama di negara ini.

Mulakan kembara nostalgia anda dengan mengunjungi muzium pertama negara, Muzium Perak dibina pada 1883 oleh Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low.

Lembaran sejarah lampau Taiping juga menyaksikan pembinaan kolam renang awam pertama, Coronation Pool, pada 1870, dan pelabuhan pertama, Port Weld atau Kuala Sepetang (1877).

Rekod ‘pertama’ itu turut meliputi landasan pertama dari Taiping dan Port Weld, stesen peranginan bukit tinggi Bukit Larut, kompleks mahkamah majistret dan penjara Taiping.

Stesen tanah tinggi pada ketinggian 1,250 meter dari paras laut menjadi tempat persinggahan warga British yang mahu merasai cuaca sejuk seperti di negara asal mereka.

Warisan kolonial yang kuat juga dapat dilihat pada seni unik bina bangunan balai polis (1881), pejabat daerah yang dibina pada 1898 dan Sekolah King Edward V11 (1883).

Justeru, ada ura-ura untuk menjadikan bandar warisan ini sebagai tapak warisan dunia seperti mana yang dianugerahkan kepada Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang.



TARIKAN LAIN

> Taiping War Cemetery, berdekatan dengan taman tasik menempatkan tempat persemadian tentera British terkorban dalam peperangan.

> Kaki golf oleh bermalam di Taiping Golf Resort yang terletak di Bukit Jana, Kamunting. Padang golf ini juga dikatakan pertama di negara ini.

>Menara jam di tengah bandar dibina pada 1881, pernah terabai seketika tetapi kini dipulihara sebagai tarikan pelancong.

> Jika menghala ke Kuala Sepetang, pastikan anda singgah di Kompleks Sejarah Matang untuk mempelajari sejarah campur tangan Inggeris yang membawa kepada penjajahan kuasa asing.



FAKTA SEJARAH

>Ngah Ibrahim yang menggantikan bapanya, Long Ja'afar pada 1857, mengupah kapten Speedy dan pasukan keselamatannya bagi memulihkan suasana aman selepas Perang Larut.

Ketika itu, pergaduhan tercetus antara dua puak pelombong - Hai San di Klian Pauh dan Gi Han di Klian Baru akibat perebutan sumber air untuk perlombongan bijih timah.

Rentetan itu, Taiping yang bermaksud ‘kedamaian luhur’ dibuka dan dihuni oleh Hai San, manakala Kamunting didiami oleh musuhnya, Gi Han.

Taiping menjadi ibu negeri Perak sebelum Perang Dunia II tetapi digantikan oleh Ipoh selepas Jepun ditewaskan dan Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu.



CARA KE SANA

>TAIPING terletak berdekatan dengan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), 88 kilometer dari Pulau Pinang, 80 km dari Ipoh dan 302 km dari Kuala Lumpur. Melalui lebuh raya, perjalanan mengambil masa sejam untuk ke Ipoh.

>Ada banyak perkhidmatan menuju ke bandar ini dari ibu kota. Selain kereta api, bandar ini juga dihubungkan dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia yang terbang ke Ipoh dan Pulau Pinang.



>Info

Antara yang pertama dibina di Taiping:

  • Sekolah Inggeris pertama, Central School yang kemudian ditukar nama kepada King Edward VII School (1883)

  • Sekolah perempuan pertama di Tanah Melayu, Lady Treacher Girl's School (1883)

  • Pejabat Pos dan Telegraf, pejabat pos pertama di Malaysia dan masih berfungsi hingga kini (1884)

  • Pasar Taiping, antara contoh terbaik warisan bangunan kurun ke-19 (1884)

  • Rumah Rehat Lama (1894), kini dikenali Lagenda Inn berdekatan Stesen Keretapi Taiping

  • Masjid Melayu tertua (1987)

  • Kolam renang pertama (1870)

  • Pelabuhan pertama, Port Weld, kini Kuala Sepetang (1877),

  • Akhbar pertama di Negeri-Negeri Melayu dicetak di Taiping pada 1890-an, bermula dengan akhbar Melayu, ‘Seri Perak’, akhbar Tamil Perak ‘Varthamani’ dan akhbar Inggeris ‘Perak Pioneer’ terbitan Taiping Press.
  • 1 comment:

    1. Hi diyana :)
      Thanks for visiting my blog! Wahhh, ni duta taiping negeri di bawah bayu ke ni? Never been to taiping b4, malaysian yg sgt teruk saya ni. ;pp
      Btw, nice knowing u. And selamat berhjg minggu :)

      ReplyDelete